Saya pernah mendekati seorang ketua jabatan yang telah bekerja hampir 30 tahun dan mempunyai lebih sepuluh orang anak hidup tanpa hutang sepanjang kariernya. Hampir kesemua anak-anak beliau di beri pendidikan secukupnya.Beliau bekerja sepenuh masa dengan kariernya sahaja. Segala urusan kewangan keluarga diurus secara tunai.
Pada mulanya saya beranggapan ia bukan langkah bijak dalam kewangan keluarga namun saya melihat beliau gembira dengan jalannya itu. Saya berbual dengan beliau untuk mendapatkan strategi kewangannya
Saya: Apa pandangan Tuan Haji tentang hutang?
Tuan Haji: Hutang ada yang baik dan ada yang buruk. Tapi saya berpegang kepada hadis Nabi “Jiwa seorang mukmin itu tersangkut dengan hutangnya sehingga hutangnya dilunaskan.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hajar dan Tarmizi). Jadi walau kita mati syahid tetapi masih berhutang tersangkutlah kita.
Saya: Kalau Tuan Haji rasa ada hutang yang baik mengapa Tuan Haji tidak mengambilnya? Contohnya macam beli rumah?
Tuan Haji: Faizul, saya boleh mengambil hutang baik hari ini tapi saya tidak tahu kehidupan saya esok. Mungkin hidup atau mati. Bagi saya beli rumah bukan keperluan lagi. Keperluan saya sekarang menyewa rumah kampung sahaja. Selagi kita kerja makan gaji, sampai masa akan berlaku perpindahan. Sehingga hari ini saya telah berpindah tujuh kali. Kalau saya beli rumah disini esok saya kena pindah ke tempat yang jauh dah kena jual semula. Jadi bukanlah itu rumah saya lagi. Saya hanya tolong jaga rumah untuk orang lain namanya.
Saya: Apa strategi Tuan Haji untuk membeli rumah?
Tuan Haji:Semasa saya muda saya telah membeli tanah (secara tunai) beberapa relung di Ulu Kenas. Masa tu harga masih murah lagi. Sekarang saya sedang menyimpan wang untuk membuat rumah sendiri bila bersara nanti. Maknanya saya memang akan buat rumah saya sendiri dan takkan dijual sehingga akhir hayat Insya Allah.
Saya: Bukankah harga barang untuk buat rumah masa Tuan Haji bersara akan meningkat lagi, jadi nilai wang yang Tuan Haji simpan sekarang tak sepadan dengan rumah seorang bos?
Tuan Haji: Betul. Bos waktu bekerja,tapi bila dah bersara bukan bos lagi. Tiada lagi gred dan pangkat. Anak-anak pun dah tak duduk sekali dengan kita. Kadang-kadang saja balik. Jadi buat rumah seadanyalah.
Saya: Orang makan gaji selalu “outstation” dan menginap di hotel untuk tugas rasmi. Tuan Haji gunakan kad kredit?
Tuan Haji: Saya tiada kad kredit. Biasa guna tunai. Sekarang guna kad debit. Orang makan gaji, memang perlu sediakan tabung untuk perjalanan dan penginapan mesyuarat, kursus dan sebagainya. Bila kita buat tuntutan, duit tuntutan tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung tadi. Jadi duit itulah yang dibuat “rolling”. Tabung untuk saya lebih kurang RM 8ribu. Jadi saya tak perlu kad kredit.
Saya: Biasanya kita akan beli kereta yang bersesuaian dengan jawatan dan saiz keluarga kita. Apa pandangan Tuan Haji?
Tuan Haji: Saya pun sama. Anak saya ramai jadi saya beli van “second hand” (RM 20ribu tunai melalui simpanan). Untuk ulang alik kerja dengan Iswara (RM 10ribu tunai melalui simpanan). Yang penting bukan ada kereta tapi ada pengangkutan. Saya pun bahagia dengan cara begini sebab bila dapat gaji tak terfikir nak bayar hutang kereta.
Saya: Beli kereta lama ini tak tinggi ke “maintainance” nya?
Tuan Haji: Sebelum beli saya akan minta beberapa kawan automotif untuk melihat atau menilitinya. Saya berjanji selepas beli nanti saya akan upah mereka servis dan segala maintainance. Untungnya saya, mereka akan mencari kereta yang “the best.” Untungnya pada mereka telah mendapat seorang pelanggan setia. Sehingga hari ini nasihat mereka tidak menghampakan saya. Cuma kalau perlu berjalan jauh seorang diri saya lebih suka naik bas atau keretapi.
Saya: Bagaima Tuan Haji agihkan duit gaji ?
Tuan Haji: 50-50. 50 % simpanan dan 50% belanja. Simpanan tu termasuklah untuk kecemasan, outstation, belian tunai, pendidikan anak dan persaraan. Belanja itu termasuklah makan minum, belanja anak-anak dan utiliiti.
Rumusan Saya
Saya akui di zaman yang mencabar ini sukar untuk kita untuk tidak berhutang. Tapi dicelah-celah kehidupan ini masih ada di antara kita bahagia hidup tanpa hutang. Bila berhadapan dengan masalah (berkaitan kewangan) setiap orang mempunyai strategi untuk menyelesaikannya. Bagi saya tidak ada yang salah dalam menyelesaikannya. Cuma semakin jelas dan yakin kita lihat jalan penyelesaian itu semakin cepat kita sampai ke puncak impian. Cerita di atas hanyalah salah satu jalan penyelesaian dalam pengurusan kewangan keluarga.

April 5th, 2011
Mohamad Faizul Ibrahim
Posted in
Tags: 