IKTIBAR DARIPADA KRISIS EKONOMI EROPAH

Tahun 2012 dunia dijangka mengalami kelembapan ekonomi lagi. Walaupun dilihat tahun 2010 merupakan tahun pemulihan krisis ekonomi dunia, namun krisis hutang yang melanda Eropah menggusarkan dunia mengenai pelaksanaan pemulihan semula ekonomi dunia.

Masalah timbul apabila negara-negara zon Eropah bersetuju menggunakan matawang EURO yang mana nilainya lebih besar berbanding nilai matawang negara-negara seperti Greece, Itali, Ireland dan Portugal. Bayangkan sahaja kalau Malaysia menggunakan matawang EURO, barang yang bernilai RM1 menjadi 1EURO bersamaan RM4. Langkah ini menyebabkan berlaku peningkatan harga barang-barang dan perkhidmatan dan menjerumuskan negara berkenaan kepada masalah inflasi.

Apabila negara-negara tersebut mengamalkan polisi kewangan boros, ditambah pula dengan membuat pinjaman bersyarat dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Syaratnya negara terbabit memberi jaminan kepada Kesatuan Eropah (EU) dan IMF bahawa ia akan mengurangkan bajet dan menaikkan cukai kepada rakyatnya. Natijahnya kini ramai pelabur-pelabur enggan melabur di negara-negara zon Eropah kerana tidak yakin dengan polisi kewangan di zon tersebut. Dalam masa yang sama kenaikan cukai kepada rakyat akan menyekat perbelanjaan dan melembapkan ekonomi mereka.

IKTIBAR UNTUK DIRI

Walaupun krisis ini adalah krisis ekonomi Eropah yang mungkin tiada kaitan dengan kita tetapi kita boleh mengambil iktibar supaya tidak berlaku ke atas kewangan diri dan keluarga. Berikut adalah beberapa iktibar yang boleh diambil.

Tamak membawa padah

Kadang-kadang kita berbangga dengan pangkat dan harta yang Allah berikan. Begitu juga terkadang bila mendapat imbuhan, kebanyakan dari kita hanya mahu berbelanja bagaimana menghabiskan wang tersebut. Dan kalau boleh rezeki secupak mahu berbelanja segantang. Sebaiknya diagihkan juga untuk simpanan, perlindungan, pelaburan, sedekah dan zakat.

Hutang wajib dibayar

Hutang dibenarkan dalam Islam dengan merujuk surah Al-Baqarah ayat 282. Tetapi jangan menganggap hutang satu kemudahan tetapi adalah bebanan. Bebanan kewangan di masa hadapan kerana komitmen bulanan yang perlu dilunaskan bertahun-tahun lamanya. Berhutanglah jika perlu tetapi perlu ukur baju di badan sendiri.

Nabi pernah bersabda “Jiwa seorang mukmin itu tersangkut dengan hutangnya sehingga hutangnya dilunaskan.” (Riwayat Ahmad) Jadi walau kita meninggal dunia dalam keadaan baik tetapi masih berhutang maka tersangkutlah kita. Apabila berhutang maka wajiblah kita membayarnya. Dan sebenarnya hutang sukar dilunaskan dengan mengambil hutang sekali lagi. Krisis ekonomi di Amerika dan Eropah sebenarnya parah kerana menggunakan “kaedah peluang kedua pinjaman dan hutang atas hutang”.

Jauhi sistem kewangan riba

Hari ini masyarakat umum sukar untuk membezakan dua sistem kewangan iaitu sistem riba’ dan sistem patuh syariah. Semestinya kita akur larangan Allah ini melalui surah Al-Baqarah ayat 278-279 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya”.

Bagaimana mungkin seorang hamba berperang dengan Allah dan Rasul-Nya?

Riba dalam pinjaman terjadi apabila jumlah bayaran semula pinjaman dikenakan kadar faedah daripada jumlah pinjaman. Jika terlewat bayar akan dikenakan peratus caj berganda daripada jumlah pinjaman dan faedah. Berbeza dengan pembiayaan Islam menggunakan kontrak jual beli (pembiaya beli aset kemudian jual semula kepada pelanggan). Maksudnya pembiaya mesti memiliki aset untuk dijual kepada pelanggan. Manakala jika terlewat nilai denda yang tepat (contohnya RM50) akan dikenakan tanpa mengambilkira nilai pembiayaan tersebut. Dan denda tersebut tidak menjadi keuntungan pembiaya sebaliknya disalurkan untuk kebajikan umum. Kesimpulannya sistem kewangan riba boleh mengeksploitasi kesusahan pelanggan, menghakis sikap tolong menolong sesama ummah serta memberi keuntungan kepada si kaya tanpa usaha.

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Shop Free Phones at Bestincellphones.com. | Find the best CD Rates, Checking and Fat Burning Furnace Review